GLOBAL

Krisis Kanada-Arab Saudi meruncing

RIYADH 7 OGOS: Pergeseran antara Kanada-Arab Saudi tidak menunjukkan sebarang tanda reda selepas Riyadh memutuskan hubungan diplomatik secara mengejut dengan Ottawa yang terus mendesak pembebasan seorang aktivis yang dipenjara di negara itu.

Kerajaan Arab Saudi bertindak mengusir duta Kanada, Dennis Horak dalam masa 24 jam dan memanggil pulang wakilnya di Ottawa.

Ia turut membekukan semua perjanjian dagangan baharu menyifatkannya sebagai cubaan campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara itu.

Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland berkata Kanada akan terus mempertahankan hak asasi manusia di seluruh dunia walau ia menjejaskan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Minggu lalu, Kanada menyatakan kebimbangannya berikutan gelombang baru penangkapan aktivis hak asasi manusia, termasuk pejuang hak asasi wanita, Samar Badawi dan menggesa Riyadh segera membebaskan mereka.

Badawi ditahan bersama Nassima al-Sadah minggu lalu, mangsa terbaru dalam tindakan keras kerajaan yang disifatkan Human Rights Watch tidak pernah berlaku ke atas pergerakan hak wanita.

Adik lelakinya, blogger Raif Badawi ditangkap pada 2012 dan dijatuhi hukuman 10 tahun penjara serta 1,000 kali sebatan kerana menghina Islam dalam kes yang mencetuskan bantahan antarabangsa.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :