SELANGOR

KUIS rai 500 pelajar asnaf dalam majlis Aidiladha

OLEH HAFIZAN TAIB

BANGI, 28 OGOS: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) meraikan hampir 500 pelajar asnaf dalam majlis jamuan Aidiladha, di kolej berkenaan di sini, hari ini.

Program anjuran Yayasan KUIS dengan kerjasama pejabat Timbalan Rektor Pengurusan Korporat (Pembangunan dan Pengantarabangsaan) itu diadakan saban tahun serta mendapat kerjasama semua warga kerjanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KUIS, Hazelena Dewi Fatahul Ariffin berkata, majlis itu bagi meraikan semua kakitangan, terutama pelajar asnaf mengikuti pengajian, di sini.

“Pada tahun ini, kita merayakan Aidiladha dengan mengadakan majlis keraian bersama hampir 500 pelajar asnaf bagi menikmati masakan daging korban.

“Program penyembelihan dijalankan pada hari pertama Aidiladha lalu dengan kita mengorbankan tiga ekor lembu pada tahun ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, dua daripadanya disumbangkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), manakala seekor lagi sumbangan individu.

Katanya, KUIS turut menjalankan program pengagihan daging korban kepada pihak memerlukan membabitkan seekor lembu, manakala bakinya digunakan untuk majlis jamuan.

“Kita menghargai sumbangan daripada MBI dan individu terbabit dengan harapan kerjasama sebegini berterusan, pada masa depan.

“Begitu juga dengan semua pihak yang turut membantu menjayakan majlis jamuan Aidiladha ini,” katanya.


Pengarang :