SELANGOR

Kumpul bahan sejarah sempena ‘Kampung Tunku Kampungku’

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 29 OGOS: Orang ramai diajak membawa barangan lama yang melambangkan sejarah Kampung Tunku sempena Sambutan Hari Malaysia ‘Kampung Tunku Kampungku’, di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada 23 September ini.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, pihaknya kini dalam rangka kerja mengumpul fakta sejarah berkenaan kawasan itu bagi menjadikannya lebih dikenali ramai.

Katanya, hal itu kerana ramai yang masih keliru dan beranggapan Kampung Tunku adalah Bukit Tunku.

“Saya mahu Kampung Tunku dan sejarahnya dikenali lebih meluas, justeru penduduk jangan malu-malu membawa barangan lama yang mungkin boleh menceritakan sejarah tempat ini,” katanya pada sidang media, di Pusat Khidmat DUN Kampung Tunku, hari ini.

Pada masa sama, Yi Wei berkata, terdapat sebuah tugu berhadapan Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku yang mempunyai kaitan sejarah dengan kawasan itu, namun tidak diketahui ramai.

“Difahamkan tugu itu mempunyai sejarah berkaitan Kampung Tunku, namun plak keterangannya sudah lama hilang.

“Jadi, kepada penduduk yang mempunyai gambar lama tugu itu boleh bawa kepada kami dan saya juga akan ke Muzium Petaling Jaya untuk mendapatkan informasi bagi membolehkan plak itu dipasang kembali,” katanya.


Pengarang :