NASIONAL

KWSP: Mesej tular insentif RM6,000 adalah palsu

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menegaskan mesej tular mendakwa ahli bekerja antara 1990 dan 2018 berhak mendapat insentif RM 6,000 adalah palsu dan tiada kaitan dengan KWSP.

Katanya, mesej itu juga mempunyai pautan ke laman web palsu, yang meminta orang ramai menjawab kaji selidik bagi menyemak kelayakan mereka untuk menerima ‘insentif’ itu.

“KWSP percaya ia adalah cubaan penipuan data peribadi ahli bagi tujuan berunsur jenayah.

“Ahli digesa supaya tidak klik pada pautan itu atau memberikan data peribadi mereka kepada mana-mana pihak ketiga yang tidak disahkan. Ahli juga diseru supaya tidak menyebarkan mesej tular tersebut,” katanya lapor Berita Harian.

KWSP berkata, semua maklumat rasmi berhubung produk dan perkhidmatan KWSP hanya akan disiarkan dalam laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my.

Ahli juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000 atau e-mel melalui http://enquiry.kwsp.gov.my untuk tujuan pengesahan jika terdapat mesej berkenaan KWSP yang meragukan di media sosial.


Pengarang :