SASTERA

Lalu Mengapa Pagi Ini Hujan Pula Turun

Dalam likat malam
yang mendinginkan iman
kita palar berpegangan
jatuh mencumbu nafsu
lewat lorong kefasikan
meniti jalan murka Tuhan.

Kita mahu terus bercanda
hingga bersalin pagi
dan sepertinya bulan lebih nakal
berdegil untuk kekal lama
menarik langit bersama
menjadi saksi berahi cinta
oleh manusia-manusia nestapa
tertewas dalam bayang malam.

Lalu angin pun datang
cuba menggoncang perdu
agar kita bangun melurut
dosa-dosa di sela waktu
namun telah kita hentikan
tersentak di muka pintu
dan kembali lena berpelukan
dalam kufur yang menyelimut.

Lalu mengapa pagi ini
hujan pula turun
merintik ke jendela bilik
dengan sabar tekun
mengejut dan mengetuk hati
yang telah menggusar Ilahi
berkali-kali
lagi dan lagi.

Iz Baidilleh
Irbid, Jordan


Pengarang :