GLOBAL

Larangan bawa masuk unta ke Makkah untuk lindungi jemaah haji – Arab Saudi

RIYADH, 4 OGOS: Arab Saudi pada Khamis berkata ia telah melarang lima kenderaan yang membawa muatan unta memasuki Makkah bertujuan melindungi jemaah haji daripada penyakit berjangkit, lapor agensi berita China Xinhua.

Omar Al Faqih, Pengarah Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian di Makkah, berkata pihaknya berbuat demikian kerana melaksanakan keputusan Kementerian Kesihatan, lapor Agensi Akhbar Arab Saudi (SPA).

Kementerian Kesihatan turut mengharamkan penyembelihan unta di kota suci Makkah sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan jemaah dari seluruh dunia yang tiba untuk mengerjakan ibadat tahunan haji.

Unta telah dibuktikan sebagai sumber koronavirus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), atau selesema unta, yang telah meragut nyawa beratus-ratus penduduk Arab Saudi sejak kes pertama didiagnos pada 2012.

Kerajaan negara itu telah menyaksikan penurunan besar dalam kes baharu MERS akibat virus tersebut berikutan langkah-langkah drastik yang diambil oleh pihak berkuasa Arab Saudi dengan kerjasama organisasi pertubuhan kesihatan antarabangsa.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :