BERITA UTAMANASIONAL

Lebih 300,000 bersama-sama Sayangi Malaysiaku di Putrajaya

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Dianggarkan kira-kira 300,000 rakyat bersama-sama memeriahkan Sambutan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 yang berlangsung di Dataran Putrajaya.

Keadaan sekitar Putrajaya yang terdiri daripada kompleks pejabat kerajaan mula dipenuhi kehadiran orang awam sejak jam 6.30 pagi dengan menaiki pengangkutan awam disediakan penganjur serta kenderaan sendiri.

Sambutan kali ini mencatat sejarah kerana ia signifikan bagi meraikan pemerintahan kerajaan Persekutuan, yang kini diterajui Pakatan Harapan, dan tonggak pemerintahan baharu itu dipimpin Dr Mahathir yang kembali menerajui kerajaan pada usia 93 tahun.

Pemilihan Putrajaya sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2018, selepas 13 tahun pernah menjadi tuan rumah, juga istimewa kerana Dr Mahathir merupakan insan yang mengilhamkan pembangunan kawasan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Prang Besar, menjadi pusat pentadbiran negara pada 1995.

Kali terakhir acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya ialah pada 2005.

Bermula pada jam 8 pagi, acara dimeriahkan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V sambil disambut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen.

Baginda kemudiannya melakukan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama disusuli dengan persembahan khas menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Negaraku, Bacaan Ikrar Rukun Negara diketuai Muhammad Aiman Shafiq Mohd Shah Noor Young dari Putera Maktab Tentera Diraja diikuti laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali serta persembahan khas Sayangi Malaysiaku.

Sepanjang acara perbarisan dan perarakan, hampir 12,295 kontinjen terlibat bagi menjayakan sambutan yang dilakukan buat kali ketiga di Putrajaya sejak 13 tahun lalu.

Mengangkat tema ‘Sayangi Malaysiaku’, ia memaparkan komuniti mewakili pelbagai peringkat umur, kaum dan budaya, ia menggambarkan identiti Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa, hidup dalam kepelbagaian, harmoni serta bersatu padu.

Sambutan Hari Kebangsaan ini turut dimanfaatkan orang awam untuk membawa ahli keluarga bagi melihat sendiri sambutan yang biasanya dilangsungkan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur secara lebih dekat.

Selain dihiburkan dengan pertunjukkan kenderaan darat dan udara dari pelbagai agensi keselamatan, ruang penerbangan udara negara turut ditutup buat sementara waktu.

 


Pengarang :