SELANGOR

Lima teras pembangunan pertanian sedia direalisasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS: Lima teras pembangunan pertanian sedang rancak dikaji dan akan direalisasikan Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Exco Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, ia membabitkan guna tanah, teknologi, pembangunan usahawan, pemasaran dan agro-tourism.

Katanya, rancangan itu selepas pihaknya turun padang dan mendengar pandangan dari setiap lapisan menerusi dialog yang diadakan.

“Selepas mengambil alih, saya bertemu dengan pihak persatuan, kumpulan dan melawat banyak tempat. Kita sudah berdialog bagi mendapatkan konsensus hala tuju pembangunan pertanian.

“Antara aspek yang akan diberi perhatian ialah aspek mesra alam dan bertani secara agroekologi.

“Dalam bidang pertanian, Selangor lari dari matlamat dan menyebabkan tanah-tanah gersang dan terdedah kepada serangan penyakit. Ini yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 bagi Siri Pertama, yang bertajuk Pengembangan dan Pembangunan Pertanian.

Ir Izham berkata, menerusi teras itu, Kerajaan Negeri akan mengoptimumkan produktiviti pengeluaran melalui tanaman bernilai tinggi contohnya ‘golden melon’.

Katanya, pihaknya turut memberikan tumpuan untuk menjadikan pusat pemasaran pertama di Malaysia dalam beberapa produk selepas melaksanakan penggredan hasil produk seperti madu kelulut.

“Kita juga memfokuskan agro-tourism sebagai destinasi pelancongan dan boleh menambahkan pendapatan pengusaha pada masa sama.

“Banyak pengusaha berjaya dalam bidang ini tetapi mereka gagal dari segi pemasaran. Oleh itu, kita mahu membentuk mereka supaya berjaya hingga peringkat seterusnya,” katanya.


Pengarang :