SUKANKINI

Luka Moric Pemain Terbaik UEFA 2017/18, ketepikan Ronaldo dan Mo Salah

OLEH AFIX REDZUAN

MONACO, 31 OGOS: Pemain tengah Real Madrid dan ketua pasukan Croatia, Luka Modric dipilih selaku Pemain Lelaki Terbaik UEFA 2017/18 dengan menewaskan dua lagi calon, Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah.

Keputusan mengejutkan itu menyaksikan beliau mengatasi dominasi bekas rakan sepasukan di Real Madrid musim lalu yang kini beraksi di Juventus, Ronaldo dari melakar kejayaan buat musim ketiga berturut-turut.

Pemilihan Modric dibuat lebih 80 jurulatih kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala Europa serta 55 wartawan sukan yang berdaftar dibawah UEFA.

Modric melakar musim gemilang bersama Real Madrid apabila membantu pasukannya menjuarai UCL bagi ketiga berturut-turut sejak 2015/16 dan kejuaraan keempat dalam tempoh lima musim.

Selain itu, beliau juga mengetuai pasukan Croatia untuk mara ke perlawanan akhir Piala Dunia Rusia 2018 walaupun tewas 2-4 kepada Perancis.

Sebelum itu, Modric yang kini berusia 32 tahun turut dipilih sebagai Pemain Tengah Terbaik musim 2017/18.

Bagi kategori Pemain Wanita Terbaik UEFA musim 2017/18 pula dimenangi penyerang kelab VFL Wolfsburg, Pernille Harder.

Pemain kelahiran Denmark itu menewaskan dua lagi calon, Ada Hegerberg dan Amandine Henry.

Dalam keputusan lain, Real Madrid turut menguasai dua lagi kategori apabila ketua pasukan, Sergio Ramos dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik musim 2017/18 manakala Keylor Navas mengekalkan status selaku Penjaga Gol Terbaik musim 2017/18.

Ronaldo yang kini beraksi bersama Juventus tidak pulang dengan tangan kosong apabila mengekalkan status selaku pemenang anugerah Penyerang Terbaik dan Penjaring Gol Terbanyak musim 2017/18.

Beliau sebelum itu menerima anugerah Gol Terbaik musim 2017/18 selepas menerima hampir 200,000 undian menerusi jaringan lipatan gunting yang dilakukan pada peringkat separuh akhir menewaskan Juventus ketika masih beraksi bersama Real Madrid.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League


Pengarang :