NASIONAL

MAIK sedia beri tanah buka ladang cili

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA BAHRU, 20 OGOS: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yakin peserta Selangor Prihatin di Desa Alam Shah, Kampung Jenerah, Pasir Puteh memperolehi simpanan melebihi RM100,000 selepas lima tahun mengusahakan tanaman cili kulai dalam program agro-ekonomi itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, MAIK akan membantu lepasan program itu memiliki tanah untuk membuka ladang cili kulai.

“Selepas lima tahun jika projek ini berjalan lancar, anggaran kita simpanan mereka melebihi RM100,000 dan MAIK akan bantu mereka buat ladang lain.

“Saya difahamkan jika terdapat banyak lagi tanah terbiar di Pasir Puteh, kemungkinan kita akan berikan tanah terbiar ini kepada mereka untuk diusahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Lembaga Zakat Selangor bersama Rakan Media ke Pejabat MAIK, di sini, semalam.

Pada masa sama, Nik Mohd Azlan turut berharap peserta program Selangor Prihatin berjaya mengubah kehidupan peserta selepas menamatkan program ini.

“Jika ini berjaya, kita dapat maksimumkan pengurusan dan bantuan basmi kemiskinan walaupun ia tidak dapat dikurangkan 100 peratus,” katanya.

Sebelum ini, LZS menjalankan program agro-ekonomi dengan menempatkan 28 keluarga peserta, di Desa Alam Shah, Kampung Jenerah.

Program yang bermula pada 2016 itu turut memberikan seekar tanah untuk diusahakan dengan tanaman cili kulai.

Hasil tanaman yang dipasarkan dengan kerjasama Nestle itu kemudiannya dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu gaji bulanan, modal pusingan untuk musim tanaman berikut dan simpanan tetap peserta.

Selepas tamat tempoh lima tahun yang ditetapkan, wang simpanan tetap itu diserahkan kepada peserta bagi membolehkan mereka memgusahakan tanaman cili masing-masing.


Pengarang :