AGAMASELANGOR

MAIS cadang had umur perkahwinan 18 tahun

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan agensi berkaitan mencadangkan supaya had umur minimum perkahwinan di Selangor diselaraskan kepada 18 tahun serta memperketatkan syarat perkahwinan bawah umur di negeri ini.

MAIS menerusi satu kenyataan berkata, cadangan itu dibuat setelah perbincangan mendalam dibuat bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan pakar daripada pelbagai jabatan serta agensi termasuk pakar perubatan, universiti selain Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Hasil perbicangan itu, keputusan bersama dicapai bagi mencadangkan pindaan kepada peruntukan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang melibatkan had umur minimum bagi perkahwinan di bawah umur bagi orang-orang Islam di negeri Selangor.

“Cadangan pindaan adalah bagi menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita daripada 16 tahun yang sedia ada di bawah undang-undang kepada 18 tahun.

“Dengan cadangan pindaan ini, had umur minimum perkahwinan bagi wanita dan lelaki Islam di negeri Selangor akan diselaraskan menjadi umur minimum 18 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, cadangan pindaan enakmen itu akan dibawa pada sidang DUN secepat mungkin.

“Keputusan mesyuarat bersetuju memperketatkan kelulusan perkahwinan di bawah umur oleh Hakim Mahkamah Syariah dengan mengambil kira kepentingan kanak-kanak terlibat dalam perkahwinan itu.

“Syarat dicadangkan mewajibkan hakim mengarahkan kanak-kanak terbabit menjalani kursus kekeluargaan khas, sesi kaunseling dikendalikan kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pemeriksaan perubatan dikendalikan pegawai perubatan hospital kerajaan.

“Hakim juga diwajibkan menyiasat kedudukan ekonomi bakal suami, rekod jenayah lampau sekiranya ada dan memanggil bakal suami atau bakal isteri dan bakal ibu-bapa mentua atau pihak lain untuk diambil keterangan sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan perkahwinan antara seorang peraih getah berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tersebar selepas isteri kedua lelaki terbabit memuat naik status di Facebook miliknya.


Pengarang :