EKONOMI

Malaysia, Indonesia bekerjasama lindungi industri minyak sawit

JAKARTA 11 OGOS: Malaysia dan Indonesia hari ini mengulangi komitmen mereka untuk bekerjasama bagi mempromosikan produk sawit dan menangani bersama serangan terhadap industri minyak sawit oleh Eropah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking dan Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita, dalam satu sidang media bersama berkata, usaha menangani isu itu akan menjadi keutamaan bagi kedua-dua kementerian tersebut.

“Kedua-dua negara akan, antara lainnya, meningkatkan peranan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit bagi mempromosikan produk sawit,” kata Leiking yang sedang dalam rangka lawatan tiga hari ke Indonesia bermula hari ini.

Pada Januari tahun ini, Parlimen Eropah mengundi untuk menghentikan secara berperingkat biodiesel yang menggunakan minyak sawit menjelang 2021.

Leiking berkata lawatan beliau itu adalah susulan kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama dua hari ke Jakarta pada Jun lepas bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Enggartiasto berkata Malaysia dan Indonesia menghasilkan 80 peratus daripada minyak sawit global dan kedua-dua negara merupakan dua pengeluar terbesar dunia.

“Kami akan bekerjasama untuk menangani serangan itu dan komited mempromosikan bersama produk minyak sawit,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dan yang ketiga terbesar dalam ASEAN.
Perdagangan dua hala hampir berganda daripada AS$9.02 bilion (AS$1=RM4.08) pada 2006 kepada AS$16.89 bilion tahun lepas.

“Sepanjang dekad yang lalu, pelaburan Malaysia adalah dalam sektor-sektor utama seperti perbankan, perladangan, pembinaan, jalan bertol, tenaga serta telekomunikasi.

“Kita berharap lawatan kerja ini akan diterjemahkan kepada kejayaan ekonomi yang lebih besar bagi kedua-dua negara,” kata kementerian itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :