GLOBAL

Mangsa terperangkap diselamatkan di Lombok

PEMENANG, Indonesia 8 OGOS: Seorang wanita dikeluarkan dalam keadaan masih hidup dari sebuah bangunan yang runtuh di Pulau Lombok semalam, dua hari selepas gempa bumi kuat membunuh lebih 100 orang, memusnahkan perkampungan dan me­ngakibatkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal.

Pada masa sama, petugas-petugas penyelamat turut menggali runtuhan sebuah masjid di utara Lombok, pulau yang digegarkan oleh gempa bermagnitud 6.9 pada Ahad lepas.

Mereka berharap sekurang-kurangnya seorang daripada empat mangsa yang terperangkap di bawah timbunan konkrit masih hidup.

Wanita tersebut, Nadia Reva­nale, 23, sedang membeli barangan keperluan di sebuah pasar mini di di sini ketika gempa berlaku, yang kedua melanda Lombok dalam masa seminggu.

Jiran-jiran terdengar suara meminta tolong dari celah runtuhan lalu menghubungi pasukan penyelamat. Mereka mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan mangsa.

“Pada mulanya, kami menggunakan tangan kami untuk membersihkan serpihan, kemudian tukul, pahat dan mesin untuk mengalihkan konkrit,” kata sukarelawan penyelamat, Marcos Eric kepada agensi berita Reuters selepas sebuah ambulans membawa mangsa ke hospital.

“Kami mengambil masa beberapa jam dan kami bersyukur mangsa ditemui dalam keadaan selamat,” tambahnya.

Ia merupakan antara segelintir detik gembira sejak gempa bumi itu meragut sekurang-kurangnya 105 nyawa termasuk dua di Bali, pulau yang berjiran dengan Lombok.

Pulau Lombok sebelum ini dilanda gempa bumi kuat bermagnitud 6.4 pada 29 Julai lalu yang mengorbankan 17 orang dan mengakibatkan ratusan pendaki terperangkap di lereng Gunung Rinjani.

Sementara itu, beribu-ribu pelancong meninggalkan Lombok sejak petang Ahad lepas kerana bimbang gempa akan berlaku lagi. Sebahagian mereka menaiki penerbangan dan sebilangan lagi menaiki feri menuju ke Pulau Bali.

Menurut pihak berkuasa, lebih 3,000 pelancong dibawa keluar dari Kepulauan Gili yang terdiri daripada tiga pulau kecil di barat laut Lombok menjelang petang kelmarin, manakala ramai lagi masih menunggu untuk dipindahkan.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :