SELANGOR

MB gembira raikan Aidiladha bersama rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 22 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turun ke beberapa masjid dan surau sekitar Batu Caves bagi melihat penduduk melaksanakan ibadah korban sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha.

Bermula di Masjid Jamiatus Solahiah, kemudian beliau ke Surau Al-Jannah dan Surau An Nasihin.

Amirudin turut berkesempatan ke Masjid Jamek Kampung Nakhoda kemudian bergerak ke Surau Al-Ehsan seterusnya Masjid An-Nur.

Amirudin berkata, beliau gembira dan bersyukur kerana diberikan kesihatan untuk bersama-sama rakyat pada sambutan Aidiladha tahun ini.

“Saya gembira melihat sahabat dan rakan di sini mengadakan korban dan berkongsi nikmat kepada mereka yang tidak berpeluang melaksanakan ibadah ini.

“Kerjasama yang ini dilihat lebih erat dan saya berharap ia dapat berjalan dengan sempurna dan cuaca yang baik.

“Semoga sambutan ini diberikan penghayatan kukuh agar pengorbanan dilakukan generasi sebelum ini dihayati dan difahami,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Amirudin menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Tahun ini, Kerajaan Negeri mengagihkan sejumlah 1,200 ekor lembu di seluruh Selangor bagi tujuan korban sempena sambutan perayaan itu.

Amirudin berkata, ia adalah bertepatan dengan konsep Maju Bersama, di mana hasil negeri diagihkan untuk dinikmati rakyat.

“Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh saf kepimpinan Kerajaan Negeri
ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua umat Islam di seluruh dunia khususnya Muslimin dan Muslimat di Selangor,” katanya.

 

 


Pengarang :