BERITA UTAMASELANGOR

MB – Hayati erti sebenar pengorbanan kepada negara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, mengajak rakyat Malaysia khususnya Selangor untuk menghayati erti sebenar pengorbanan kepada negara sempena kehadiran Aidiladha dan Hari Kebangsaan.

Katanya, Aidiladha membawa makna yang besar dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim, di Malaysia.

Beliau berkata, keamanan dan keharmonian yang dikecapi kini adalah hasil perjuangan serta pengorbanan generasi terdahulu.

“Sayugia diinsafi, kita seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan pengorbanan mereka tidak sia-sia dan mengangkat martabat agama Islam sebagai agama persekutuan supaya dijunjung tinggi.

“Sebagai negeri contoh yang menjadi ikutan di Malaysia, maka Selangor sentiasa meletakkan agenda memartabatkan institusi agama Islam sebagai matlamat utama pentadbiran.

“Matlamat ini adalah jelas bagi memastikan agama Islam terus makmur berkembang dengan syumul, di samping menghormati adat dan ikutan agama lain,” katanya dalam perutusan Aidiladha, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri mengagihkan sejumlah 1,200 lembu di seluruh negeri bagi tujuan korban sempena Aidiladha, tahun ini.

Katanya, ia bertepatan dengan konsep ‘Maju Bersama’ iaitu hasil negeri diagihkan untuk dinikmati rakyat.

“Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh saf kepimpinan Kerajaan Negeri ingin mengucapkan Selamat Hari Raya AidilAdha kepada semua umat Islam di seluruh dunia khususnya muslimin dan muslimat, di Selangor.

“Semoga hari yang mulia ini dapat menjadi iktibar kepada kita semua dalam mencorakkan kehidupan berlandaskan prinsip syarak,” katanya.

 

 


Pengarang :