SELANGOR

MB: Lebih baik PAS dan UMNO bergabung

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 OGOS: PAS dan UMNO disarankan bergabung serta mengumumkan pembentukan pasukan secara rasmi berdasarkan senario semasa politik.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari berkata, Pakatan Harapan akan tetap bekerja keras mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong.

“Saya rasa dengan perkembangan terbaru, lebih baik mereka bergabung menjadi satu barisan.

“Masing-masing ada hak berkempen bagi (mana-mana) parti. Kita boleh bersaing secara bebas dan adil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2018 yang dihoskan Jabatan Kerja Raya Selangor, di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mengulas berkenaan corak berkempen semasa yang menjurus kepada serangan peribadi dalam pemilihan KEADILAN, Amirudin berkata, semua pihak bertanding sepatutnya menyediakan polisi dan program untuk memperkasakan parti jika dipilih perwakilan.

Katanya, garis panduan ditetapkan parti sepanjang pemilihan wajar dipatuhi dan pihak yang terguris hati dengan serangan tidak sihat itu disaran mengemukan laporan kepada Biro Disiplin parti.

“Janganlah sampai menyerang peribadi dan membuat tuduhan liar yang tidak dapat dibuktikan.

“Secara asasnya sebelum ini yang menggunakan kaedah ini akan ditolak oleh majoriti ahli KEADILAN,” katanya.


Pengarang :