BERITA UTAMASELANGOR

MB: Pengambilalihan SPLASH akhiri penstrukturan industri air

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 3 OGOS: Tawaran pengambilalihan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ke atas Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bakal mengakhiri penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak sekian lama.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dengan itu juga ia memudahkan segala proses perancangan sejak Perjanjian Utama ditandatangani Kerajaan Negeri dan Persekutuan bersama Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) juga Air Selangor pada September 2014.

“Persetujuan dicapai antara Air Selangor dan SPLASH akan membolehkan langkah akhir diambil untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Menjelang akhir tahun ini, semua konsesi air di Selangor dapat ditamatkan dan seterusnya pada tahun depan, Air Selangor muncul sebagai syarikat tunggal memproses, merawat dan mengagihkan air terawat kepada seluruh pengguna di ketiga-tiga kawasan berkenaan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pengambilan SPLASH oleh Air Selangor di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Amirudin menyaksikan penyerahan surat tawaran disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman kepada Pengerusi SPLASH Holdings, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.

SPLASH Holdings adalah pemegang 100 peratus saham dalam SPLASH.

Amirudin berkata, nilai pengambilalihan SPLASH ditawarkan adalah RM2.55 bilion iaitu bersamaan dengan diskaun 28 peratus berdasarkan nilai buku bersih SPLASH pada 30 Jun iaitu RM3.54 billion.

Katanya, Air Selangor akan membuat bayaran pendahuluan RM1.9 bilion dan baki pertimbangan RM650 juta melalui bayaran ansuran tahunan untuk tempoh sembilan tahun.

“Pengambilalihan ini tidak membabitkan sebarang peruntukan kewangan dari dana Kerajaan Negeri dan distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang.

“Ini membolehkan Air Selangor beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi munasabah sekali gus mempastikan kadar tarif air tidak membebankan rakyat.

“Setakat ini, tiada sebarang keputusan dibuat berkaitan kenaikan tarif air,” katanya.

Amirudin berkata, tawaran pengambilalihan itu dicapai setelah rundingan selama hampir setahun berlangsung antara kedua pihak dengan ia adalah adil dan munasabah berasaskan kepada prinsip “willing buyer, willing seller” juga menerima pengesahan penilai bebas dilantik Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Pengambilalihan itu juga, katanya, akan menyelesaikan hutang tertunggak ditanggung anak syarikat Air Selangor, iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) kepada SPLASH untuk pembelian air terawat mencecah RM4.7 bilion setakat 30 Jun lalu.

Air Selangor adalah sebuah Syarikat Tujuan Khas (Special Purpose Vehicle) ditubuhkan Kerajaan Negeri untuk mengambilalih semua syarikat konsesi bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Syarikat itu berjaya mengambilalih syarikat konsesi air iaitu SYABAS, PNSB dan Konsortium ABASS pada 2015.

“Sejak pengambilalihan tiga syarikat konsesi ini, banyak usaha dijalankan menambah baik sistem bekalan oleh Kerajaan Negeri dan Air Selangor di mana ia termasuk pembangunan dua loji rawatan baharu iaitu loji rawatan air Semenyih 2 dan Labohan Dagang.

“Usaha penggantian paip air lama juga dilaksanakan Air Selangor untuk mengurangkan kadar air tak berhasil (Non-Revenue Water, NRW) daripada 32 peratus pada akhir 2015 kepada 30.11 peratus setakat akhir tahun lalu,” katanya.


Pengarang :