SELANGOR

MB sedang teliti jawatan Halimah dalam PPAS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sedang meneliti mengenai jawatan Dr Halimah Ali selaku Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), dalam masa terdekat ini.

Dr Halimah yang juga merupakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia bakal bertemu calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Halimey Abu Bakar.

Amirudin berkata, beliau baru sahaja memegang jawatan selaku Dato’ Menteri Besar dan masih baharu lagi untuknya memutuskan perkara berkenaan.

“Kita akan meneliti jawatan Dr Halimah dalam masa terdekat ini samada perlu atau tidak beliau meletak jawatan.

“Memandangkan saya juga masih baharu jadi belum sempat untuk menukar sebarang kedudukan sesiapa dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 bertempat di Holiday Inn, Glenmarie, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai samada PAKATAN sedang goyah kerana PAS dan UMNO bekerjasama, Amirudin enggan mengulas dan hanya berkata “senyum”.

Terdahulu, pengundian awal bagi PRK akan diadakan pada 4 September ini dan hari mengundi, pada 8 September ini.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia, pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Shaharuddin mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif daripada BN, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas Dr S Vignes dengan majoriti 19,372 undi.


Pengarang :