BERITA UTAMASELANGOR

MB: Selangor ‘Lembah Kemakmuran’ buat setiap rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 OGOS: Misi menjadikan Selangor sebagai ‘Lembah Kemakmuran’ buat setiap rakyat perlu digembeleng bersama antara agensi kerajaan, swasta dan korporat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata dengan harapan itu ia bagi memastikan setiap rakyat di negeri itu dapat bersama-sama menikmati kemakmuran itu tanpa ketinggalan.

“Sesungguhnya dalam melaksanakan prinsip dan dasar pentadbiran negeri, saya memerlukan saf kepimpinan dan rakyat yang utuh dan jitu.

“Berasaskan prinsip ‘Maju Bersama’, saya mahu mengajak saf kepimpinan kerajaan negeri bersama-sama mengembleng dan berpadu tenaga dengan rakyat negeri Selangor supaya negeri ini kekal aman dan makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 Peringkat Selangor, malam tadi.

Amirudin berkata, Selangor telah membuktikan kemampuan untuk mengemudi ekonomi negera pada tahap terbaik sehingga menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017.

Katanya, fakta itu bukan menjadi faktor buat Selangor untuk mendabik dada, sebaliknya memberitahu dunia resipi kejayaan adalah kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat dalam memakmurkan negeri.

“Aspirasi kerajaan negeri dan cita-cita rakyat menjadi satu bagaikan aur dan tebing. Justeru tidak hairanlah dasar Kerajaan Negeri berpaksikan ketelusan, adil dan berintegriti serta disenangi rakyat tidak kira kaum, agama dan peringkat umur.

“‘Keluarga besar’ Negeri Selangor ini adalah tunjang utama dalam memastikan hasil dan kejayaan negeri dinikmati oleh semua,” katanya.


Pengarang :