????????????????????????????????????
SELANGOR

MBI komited sedia rumah mampu milik untuk rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) komited melaksanakan rumah mampu milik untuk penduduk Selangor, seperti disarankan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Ketua Pegawai Operasinya, Soffan Affendi Aminudin berkata, pembinaan rumah mampu milik adalah rancangan masa panjang dan sudah dibentangkan sejak 2015.

“Langkah ini akan dilaksanakan secara besar-besaran dan kini sudah memasuki fasa kedua. Pada fasa pertama, kita selesaikan daripada sudut kewangan.

“Perkara ini juga sudah diperhalusi dengan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Kita mahu garapkan formula dan rangka kerja kuat serta konkrit untuk menjayakannya dengan hasilnya kita jangka akan lihat dalam suku tahun hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menggesa Kerajaan Negeri menyediakan tapak untuk membolehkan lebih banyak rumah mampu milik dapat disediakan Kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, Amirudin melalui twitter berkata, Kerajaan Negeri melalui LPHS dan MBI akan bekerjasama menyediakan kediaman mampu milik buat rakyat Selangor.

“Saya yakin kerjasama strategik ini akan memberi manfaat buat rakyat Selangor,” tulisnya.


Pengarang :