Sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di Selangor dari Januari hingga 1 Ogos.
PBTSELANGOR

MBPJ catat penurunan kes denggi 23%

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA 26 OGOS: Kes kumulatif denggi di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencatatkan penurunan 23 peratus, membabitkan 1,931 kes berbanding 2,519 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, jumlah kes demam denggi mingguan dilaporkan sehingga minggu epid ke 32/2018 iaitu dari 5 hingga 11 Ogos pula sebanyak 79 kes.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan kes 23 peratus, berbanding kes pada minggu epid 31/2018 dengan 108 kes.

“Purata kes mingguan adalah sejumlah 60 kes dan tiada sebarang kes kematian dilaporkan setakat ini.

“Jumlah ini juga adalah yang terendah berbanding dua pihak berkuasa tempatan lain di daerah Petaling,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Mohd Azizi berkata, sehingga minggu epid 32 berakhir 11 Ogos itu, jumlah lokaliti wabak adalah 60.

Katanya, ia membabitkan tiga wabak baru, 38 wabak terkawal, sembilan wabak tidak terkawal dan 10 kawasan hotspot.

Sementara itu, bilangan kes denggi mengikut zon DUN menyaksikan Bukit Lanjan antara yang tertinggi iaitu 364, Kota Damansara (383), Seri Setia (457) dan Taman Medan (204).

Ia disusuli DUN Damansara Utama dengan catatan 203 kes, Bukit Gasing (216) dan Kampung Tunku (104).


Pengarang :