PBTSELANGOR

MBPJ terima pengiktirafan ‘MSOSH OSH Silver Award 2017’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA 26 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima pengiktirafan ‘MSHOSH OSH Silver Award 2017′ daripada Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH), baru-baru ini.

Datuk Bandarnya, Dato’ Azizi Mohd Zain berkata, ia sekali gus meletakkan MBPJ sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menerima anugerah bagi kategori ‘Public Sector and Statutory Bodies’.

Katanya, kejayaan diraih itu dilihat amat memberangsangkan kerana Majlis baru setahun mendapat pensijilan OHSAS 18001, September tahun lalu.

“Bukan mudah untuk sesebuah PBT melaksanakan OSHE memandangkan skop kawasan pentadbiran Majlis yang luas dan bidang tugas melibatkan hubungan pelbagai pihak.

“Pada masa ini juga, budaya OSHE kurang dilaksanakan di sektor kerajaan jika dibandingkan dengan sektor swasta.

“Bagaimanapun, anugerah ini mempunyai standard penilaian sangat tinggi yang didasarkan kepada prosedur dan piawaian, terutama dalam sektor minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan.

Azizi berkata, selaku Datuk Bandar beliau sangat bangga dan gembira menerusi pencapaian terbabit.

“Saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja OSHE MBPJ, Sharipah Marhaini Syed Ali, atas komitmen dan pasukan beliau dalam melaksanakannya.

“Saya juga ingin menyeru semua warga MBPJ dan Petaling Jaya supaya bersama-sama menggembleng tenaga, berusaha serta bertekad untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat, selain membudayakan amalan bekerja dengan selamat dalam kalangan kakitangan juga kontraktor,” katanya.

Susulan pengiktirafan itu , Azizi turut optimis untuk mencapai tahap lebih tinggi sama ada Gold 2 Award atau Gold 1 Award pada tahun hadapan.

Terdahulu, MSOSH OSH Award diwujudkan sejak 37 tahun lalu dengan sepanjang penganjuran, MBPJ antara PBT pertama di Malaysia menyertainya.


Pengarang :