BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA PBT pertama Malaysia guna kaedah ‘SnapNPay’, mudahkan urusan bayaran

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) muncul sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia menggunakan kaedah bayaran menerusi aplikasi “SnapNPay’.

Dato’ Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, kaedah bayaran menggunakan aplikasi ini merupakan kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

“Aplikasi ini dapat memudahkan pengguna membuat bayaran kompaun dan cukai taksiran tanpa perlu memasukkan nombor akaun dan jumlah bayaran.

“Selain itu pengguna juga boleh membayar tunggakan yang merangkumi urusniaga seperti cukai taksiran, kompaun, bil sewaan, bil air, elektrik, lot kosong iaitu kos pembersihan dan bayaran lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi SnapNpay di Lobi Mokara, MBSA di sini, hari ini.

Ahmad Zaharin berkata, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi bayaran SnapNPay di Google Play Store bagi pengguna telefon pintar android atau Apps Store bagi pengguna IOS secara percuma.

Katanya, pengguna hanya perlu mengimbas kod bar atau kod QR untuk nombor akaun dan jumlah bayaran yang tertera pada invois cukai taksiran, notis kompaun dan notis sekatan yang diterima.

“Pengguna dikehendaki memilih saluran bayaran disediakan di dalam aplikasi SnapNPay dan proses bayaran disambungkan kepada portal perbankan internet,” katanya.


Pengarang :