PBTSELANGOR

MDKL lancar ops kilang haram, tahan 12 pekerja asing

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 7 OGOS: Seramai 12 pekerja asing ditahan hasil serbuan ke lapan kilang memproses plastik haram dalam operasi Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersama beberapa agensi di kawasan Seri Cheding dan Telok Panglima Garang, di sini, 2 Ogos lalu.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, semua pekerja asing itu ditahan Jabatan Imigresen (Imigresen) di dua lokasi berbeza di Telok Panglima Garang kerana kesalahan di bawah Sub Seksyen (1) Seksyen 40, Ordinan Imigresen 1959.

“Operasi terbabit dijalankan bagi membanteras kegiatan pengusaha kilang berkaitan mengaut tanpa memikirkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan berdekatan yang mendukacitakan banyak pihak.

“MDKL berterima kasih kepada semua agensi membantu dengan penuh komited dalam operasi bagi memastikan Kuala Langat tidak menjadi daerah tempat longgokan sisa plastik walaupun Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan mengeluarkan arahan agar lesen mengimport sisa plastik dihentikan serta-merta,” katanya.

Beliau berkata, operasi MDKL itu membabitkan penyertaan 91 pegawai dan anggota penguatkuasa daripada Imigresen, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (Kastam), Pejabat Daerah Kuala Langat, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dalam operasi itu, Mohamad Zain berkata, semua pintu masuk kilang dimeterai MDKL selain pelbagai jenis peralatan disita.

“Pihak kilang juga dikenakan pelbagai jenis notis kesalahan seperti notis pemberitahuan di bawah Seksyen 19 (1), Akta 172, notis pemberitahuan di bawah Seksyen 70 (13) (c), Akta 133 dan notis kesalahan di bawah Seksyen 70(a), Akta 171.

“Bagi memastikan kilang tidak dapat beroperasi, JAS turut memeterai 18 mesin di bawah Seksyen 38 (1)(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kastam turut menyita tujuh kotak minuman keras tak berkastam di bawah Akta Kastam 1967 dan Pejabat Daerah Kuala Langat mengeluarkan Notis 7A, Kanun Tanah Negara ke atas sebuah kilang di Kampung Seri Cheding.


Pengarang :