PBTSELANGOR

MDKS mahu ahli majlis pacu PBT ke arah status perbandaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 2 OGOS: Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) digesa supaya memacu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu ke arah status perbandaran.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, oleh sebab itu, beliau mengharapkan kerjasama dan sokongan semua ahli majlis untuk membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat perkhidmatan sekaligus mencapai matlamat tersebut.

“Tahniah kepada ahli majlis yang baru sahaja dilantik, namun begitu ingin saya mengingatkan peranan masing-masing dalam membantu masyarakat setempat.

“Pada masa sama, anda perlu menjadi perantara untuk menyelesaikan masalah, gelaran ahli majlis itu perlu difahami dengan jelas dan menjaga setiap tingkah laku kerana mereka mencerminkan PBT kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, peranan ahli majlis sama penting seolah-olah diibaratkan sebagai ahli lembaga pengarah dalam sesebuah syarikat.

“Anda adalah salah satu tonggak utama dalam pentadbiran MDKS dan berharap ahli majlis yang dipilih kali ini dapat memainkan peranan lebih efektif demi kelangsungan MDKS.

“Sebaiknya kita mahu menjadi PBT yang menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pembayar cukai dan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MDKS bertempat di Bilik Mesyuarat Malawati MDKS.

Seramai 23 ahli majlis dilantik bagi penggal 2018/2020, antara yang dilantik ialah sembilan dari Parti KEADILAN, empat mewakili DAP, lima orang daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) serta lima orang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).


Pengarang :