SELANGOR

MDSB buka iklan, tampal notis premis kosong

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 30 OGOS: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) sentiasa membuka iklan sewa dan menampal notis premis kosong setiap empat bulan sekali.

Yang Dipertuanya, Mohd Faizul Fitri Muslil bagaimanapun berkata, kekosongan premis di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu hanya bergantung kepada permintaan dan penawaran penduduk setempat, khusunya.

“Jumlah kekosongan premis tahun lalu ialah sebanyak 127 unit dan sebahagian besarnya ialah petak Pasar Awam Sabak, Pasir Panjang dan Sungai Air Tawar.

“Justeru, kepada yang berminat boleh berhubung terus dengan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MDSB,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohd Faizul berkata, sebanyak dua daripada 16 unit premis perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Parit 16 Sungai Panjang masih kosong.

“Premis terbabit terdiri daripada perniagaan runcit, kedai makan, menjual baju, membekal dan menjual ais, bengkel kereta, kilang kerepek, kilang memproses kaki ayam, membekal dan menjual lemang frozen.

“Sebahagian peniaga pula berniaga di luar kawasan dan hanya menjalankan operasi di waktu tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya turut menyediakan kaunter van bergerak setiap bulan bagi memudahkan penyewa untuk membayar sewa.

Katanya, sebanyak 75 peratus daripada hasil kutipan sewa keseluruhan terkini berjaya dikutip MDSB.

“Pihak kami akan menjalankan operasi kutipan tunggakan hasil seperti tunggakan cukai taksiran dan kompaun bermula 3 September depan.

“Ia perlu dijelaskan segera bagi mengelakkan denda lewat dan sita kepada individu yang ingkar menjelaskan tunggakan cukai taksiran.

“Kami juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana individu yang gagal menjelaskan kompaun MDSB,” katanya.


Pengarang :