BERITA UTAMASELANGOR

Meja bulat belanjawan 2019 Siri 1 bincang isu pertanian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang pertanian hadir menyertai Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, bagi Siri Pertama di Pusat Konvensen Shah Alam, di sini.

Bertemakan Pengembangan dan Pembangunan Pertanian itu dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Menerusi ucaptamanya, Amirudin berkata, meja bulat itu bertujuan membincangkan dan memberikan pandangan serta pendapat kepada Kerajaan Negeri di dalam proses merangka belanjawan tahun 2019.

Katanya, ia bagi memastikan belanjawan itu dapat dirangka dan direalisasikan sebagai Belanjawan Rakyat.

“Maklumbalas dari stake holder (pemegang taruh) dalam bidang ini amat penting kerana mereka yang bergelumang dalam pertanian akan tahu masalah yang perlu diatasi.

“Adalah sukar untuk merangka dasar atau polisi yang efektif jika kita tidak mengenalpasti masalahnya.

“Pendekatan ini akan dilakukan dalam bidang strategik

lain agar Belanjawan Selangor mampu memberikan impak kepada pembangunan ekonomi negeri dan memberikan kemakmuran kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama di Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, Siri Pertama di Pusat Konvesyen Shah Alam, di sini.

Sehubungan itu, Amirudin berharap, melalui Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 itu, ia akan menghasilkan pelbagai cadangan yang berkualiti.

Katanya, ia sekali gus dapat membantu golongan yang terbabit secara langsung di dalam sektor pertanian ini untuk menjadi lebih maju, berdaya saing dan secara tidak langsung dapat meningkat peratusan ‘Self Sufficient Level (SSL).

“Saya juga merancang untuk turun di setiap daerah di Selangor agar kita sama-sama mencari kaedah untuk memajukan semua daerah tersebut dengan menonjolkan kekuatan dan keistimewaan masing-masing.

“Saya tidak mahu ada yang tertinggal di saat kita menyebut Selangor sebagai negeri maju,” katanya.

Perbincangan itu membabitkan petani kecil, ahli akademik, agensi kerajaan yang berkaitan, badan bukan kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, pengeksport dan pengimport produk pertanian.


Pengarang :