KENYATAAN MEDIA

Meningkatkan pembangunan komuniti bagi melahirkan masyarakat lebih sejahtera

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

بسم الله الرحمن الرحيم

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..
Setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kepada yang Maha Esa atas ruang dan peluang yang masih diberikan kepada kita semua sehingga hari ini.

 

Terima kasih saya ucapkan kepada pihak media dan sukarelawan yang masih bersama-sama dengan saya sehingga hari ini.

 

1. Kehidupan di bandar, terutama di kalangan masyarakat penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran hidup.
Mereka sering terbelenggu di dalam masalah sosioekonomi kerana latar belakang kehidupan mereka yang rata-rata asalnya adalah kelompok masyarakat berpendapatan rendah.

 

Selain terdedah kepada masalah ekonomi seperti dibuang kerja, bebanan hutang dan kos sara hidup yang tidak sepadan, mereka juga berdepan impak sosial dan jenayah seperti perceraian, penyalahgunaan dadah, vandalisme, meminum minuman keras serta perjudian dan mencuri.

 

2. Sedar bahawa keadaan ini perlu diperbetulkan, saya mencadangkan penubuhan “Pusat Kaunseling Komuniti” di seluruh kawasan DUN Seri Setia.
Walaupun setakat ini ada Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), menawarkan khidmatnya di PPR Lembah Subang, saya mendapati ia masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.

 

3. Bagi tujuan menyebarluaskan ilmu dan pengetahuan berkaitan kaunseling, saya juga sedang merangka Program Latihan Kaunseling kepada pemimpin masyarakat seperti ahli jawatankuasa (AJK) masjid, ketua komuniti bukan Islam dan AJK persatuan penduduk.

 

Usaha ini saya anggap akan dapat membantu di peringkat awal bagi mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat setempat. Terutama untuk meredakan tekanan emosi yang mereka hadapi ekoran berdepan pelbagai dugaan dan cabaran hidup.

 

4. Program Pembangunan Komuniti bagi melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera juga akan melibatkan peranan Pusat Khidmat Masyarakat.
Melaluinya, Pusat Khidmat Masyarakat ini akan menyedia dan menawarkan khidmat kaunselor bertauliah, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

 

Kita tidak boleh memandang ringan masalah membabitkan emosi kerana ia boleh mencetuskan pelbagai masalah sampingan lain jika tidak ditangani dengan segera.

Malah laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus penduduk sedang berdepan gangguan dari segi psikologi. Bak kata pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

 

Kita juga akan berusaha untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) dengan agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN), juga Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) serta beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi merangka dan menjalankan program-program ini.

 

5. Pada masa yang sama, saya turut bercadang menyediakan “Talian Khas” bagi mengendalikan masalah yang dihadapi penduduk setempat, terutama berkaitan kecemasan dan perkara yang memerlukan tindakan segera.

 

6. Saya sedar bahawa isu utama dalam kelompok komuniti yang menghuni kediaman PPR adalah rumit dan perlu ditangani secara santun. Ini kerana dari sudut sosioekonomi ia turut melibatkan isu perpaduan.

Masalah yang berlaku mesti diberi perhatian dan tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga boleh menjejaskan keharmonian hidup di kalangan masyarakat berbilang bangsa.

7. Oleh itu, sebagai pemimpin setempat berilah saya peluang untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Saya berjanji akan menangani masalah yang dihadapi warga PPR khususnya di seluruh kawasan DUN Seri Setia, termasuk PPR di Lembah Subang ini.

Marilah bersama saya untuk membangunkan sebuah komuniti yang di dalamnya ada kehidupan yang tenang, stabil, tenteram serta berkasih sayang tanpa dibatasi oleh perbezaan bangsa dan agama.

 

Justeru itu, sekali lagi saya menyeru pengundi DUN N32 Seri Setia, keluarlah mengundi beramai-ramai dan pilihlah saya sebagai calon Pakatan Harapan pada 8 September nanti.

Dan saya akhiri sidang media pagi ini dengan takbir raya bersama-sama.

 

HALIMEY BIN ABU BAKAR

No. 1, Calon Pakatan Harapan

 

Dikeluarkan oleh
Sekretariat Media
Bilik Gerakan Utama PH
PRK N32 Seri Setia

 

#memacukesejahteraanbandar
#halimey4serisetia


Pengarang :