NASIONAL

Menteri: Matlamat asal menyimpang, kaji semula Khazanah

SHAH ALAM, 1 OGOS: Menyimpang daripada matlamat asal penubuhan, antara faktor kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu mengkaji semula peranan dimainkan Khazanah Nasional Berhad, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara berlaku sejak tahun lalu sehingga menuntut kerajaan baharu untuk kembali meletakkan syarikat terbabit di landasan betul.

“Saya ada beberapa contoh yang menuntut kita untuk melihat semula peranan syarikat ini, iaitu yang paling kecil sebelum ini Khazanah telah melabur sebanyak hampir ASD20 juta melalui sebuah syarikat borong atas talian yang menjual baju dalam wanita dan akhirnya pelaburan ini terpaksa dihapus kira.

“Selain itu, terdapat pelaburan dibuat melalui ekuiti swasta untuk mengambil alih sebuah bank. Oleh kerana perbincangan itu tidak dibuat terus dengan bank berkenaan tetapi melalui ekuiti swasta, sekali lagi pelaburan berkenaan terpaksa dihapus kira sebanyak RM3 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan ke atas Perbahasan Titah Diraja, di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, kenyataan itu dibuat sebagai reaksi balas terhadap pertanyaan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang turut mempertikaikan bahawa Khazanah menyimpang daripada objektif asal, walaupun sepanjang tempoh 10 tahun aset syarikat berkenaan melonjak dari RM30 bilion kepada RM134.5 bilion.

Pada masa sama Mohamed Azmin berkata, hal itu bagi memastikan aset strategi negara yang ditetapkan dapat diuruskan dengan baik dan bertanggunjawab.

“Saya tidak mahu pergi lebih daripada itu dan segala perincian daripada contoh itu akan diberikan dalam masa terdekat setelah pengerusi baharu mengambil alih syarikat itu,” katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan peletakan jawatan sembilan ahli lembaga pengarahnya termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof.

Langkah itu bagi membolehkan kerajaan menstruktur semula syarikat dana pelaburan terbabit berdasarkan polisi pentadbiran baru sedia ada.


Pengarang :