BERITA UTAMANASIONAL

Merdeka: Rakyat tetap yakin masa depan negara

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Ketika negara siap sedia menyambut hari Kemerdekaan ke-61 esok, rakyat Malaysia dari segenap lapisan kehidupan, umur dan bangsa berkongsi satu perkara yang serupa iaitu mereka sentiasa berbangga menjadi anak Malaysia dan mempunyai keyakinan tinggi terhadap masa depan negara.

Kajian berkala mengenai Merdeka dan isu semasa yang dijalankan oleh Profesor Datuk Seri Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun ini mendapati kira-kira 95 peratus responden sentiasa bangga menjadi rakyat Malaysia, tahap yang sama dicatatkan apabila kajian itu bermula 2009.

“Kebanggaan menjadi rakyat Malaysia merentasi kaum, umur dan tahap pendidikan dan perasaan yang sama tutut dirasai oleh kepada rakyat di Sabah dan Sarawak,” kata Syed Arabi.

Mengenai masa depan Malaysia, semua kaum menunjukkan keyakinan yang lebih tinggi (melebihi 80 peratus) dalam tempoh pengajian dari Jun hingga Ogos tahun ini berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2017 (kira-kira 70 peratus).

“Bagaimanapun, kumpulan usia pertengahan (36-50 tahun) dan golongan muda (21-35 tahun) lah yang menyatakan keyakinan tertinggi dengan kedua-dua kumpulan itu yang paling diharapkan dari kerajaan baru dalam meneraju masa depan negara,” katanya kepada Bernama sambil menambah tidak banyak perubahan dalam kumpulan yang lebih berusia (51 dan ke atas).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :