SELANGOR

Misi cari pemilik Highland Towers berakhir esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 30 OGOS: Misi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencari 27 lagi pemilik unit Highland Towers, bakal berakhir esok.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, setakat ini tiga pemilik sudah menemui pihaknya bagi menyelesaikan hak pemilikan rumah yang ditinggalkan hampir 25 tahun itu.

“Kementerian juga sudah mengiklankan pencarian pemilik rumah berkenaan di akhbar dan notis itu akan tamat esok dan kami anggap ia selesai.

“Langkah seterusnya kita akan realisasikan cadangan untuk membina taman rekreasi bagi kemudahan penduduk Ampang dan boleh digunakan secara percuma oleh orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Hab Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad dan Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB), Dr Daroyah Alwi.

Zuraida berkata, sebelum ini 111 pemilik sudah dikenal pasti bagi ketiga blok Highland Towers terbabit.

Katanya, Highland Towers yang sudah terbiar sejak 25 tahun lalu bakal dibangunkan menjadi taman rekreasi, bukannya projek perumahan seperti cadangan awal.

“Kementerian memahami tapak itu tidak sesuai dibangunkan menjadi kawasan perumahan, jadi disebabkan itu kita merancang membina taman,” katanya.

Antara pihak yang bekerjasama bagi pembangunan semula kawasan itu ialah Kementerian Kewangan, Kerajaan Selangor, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kerja Raya.

Difahamkan, kawasan Highland Towers dibiar terbengkalai sejak 1993, susulan tragedi satu daripada tiga blok kondominium itu di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh yang meragut 48 nyawa.


Pengarang :