NASIONAL

Mohamed Azmin serah borang pencalonan Timbalan Presiden KEADILAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 5 OGOS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali disahkan mempertahankan kerusi Timbalan Presiden KEADILAN yang disandangnya sejak 2010.

Borang pencalonan beliau diserahkan oleh wakilnya, Dato’ Menteri Besar yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shari dan calon Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham kira-kira jam 4.45 petang.

Pencalonan beliau dicadang oleh Mohd Hilman Idham dan disokong oleh Amirudin.

Sebelum ini, seorang lagi calon turut menghantar borang pencalonan bagi kerusi Timbalan Presiden iaitu bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjadikan satu lawan satu.

Mohamed Azmin mula menduduki kerusi Timbalan Presiden pada 2010 selepas menewaskan pencabarnya, Datuk Zaid Ibrahim.

Pada Pemilihan KEADILAN 2014, beliau sekali dicabar bagi mempertahankan kerusi sama.

Bagaimanapun, pada pertandingan tiga penjuru itu, Mohamed Azmin berjaya menewaskan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution.

Pada 2014 beliau dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) beliau sekali lagi dilantik sebagai Menteri Besar sebelum meletakkan jawatan apabila diberi tanggungjawab sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.


Pengarang :