SELANGOR

Mohd Zawawi ikrar bawa aspirasi penduduk Sungai Kandis

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 3 OGOS: Calon KEADILAN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berikrar untuk berusaha merasai degup nadi masyarakat, di situ jika diberi mandat.

Katanya, beliau akan berdiri teguh menyampaikan aspirasi rakyat kepada Kerajaan Negeri.

“Berkongsilah masalah dengan saya sebagai wakil rakyat yang diberi mandat, saya akan melayani masalah diluahkan dengan adil dan tanpa pilih kasih.

“Sebagai contoh, jika penduduk berdepan masalah longgokan sampah, ambillah tindakan segera dengan merakam sampah dan lokasinya untuk saya terus bawakan kepada pihak berwajib,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN PRK Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, beliau mahu mengekalkan hubungan dengan masyarakat di Sungai Kandis menerusi pelbagai medium, termasuk whatsapp, facebook atau twitter.

Pada masa sama, katanya, pusat khidmat masyarakat (PKM) akan ditubuhkan bagi memudahkan beliau berhubung dengan masyarakat setempat.

“Kami bersetuju tempatkan PKM di Bandar Puteri tetapi untuk sementara waktu ini kekal di Kota Kemuning kerana semua kelengkapan dan fail masih di sana,” katanya.


Pengarang :