BERITA UTAMANASIONAL

Monopoli BERNAS bakal ditamatkan untuk manfaat pengguna

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEKINCHAN, 24 OGOS: Monopoli pasaran beras oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) akan ditamatkan bagi memastikan kepentingan pengguna lebih terjamin.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzim berkata, langkah membuka peluang kepada syarikat pembekal beras berkelayakkan memasarkan beras bakal mewujudkan persaingan sihat dalam industri terbabit.

“Kementerian akan tamatkan monopoli BERNAS supaya lebih banyak syarikat bersaing dan pengguna dapat lebih manfaat dengan adanya persaingan sihat ini.

“Langkah ini diambil kerana beras merupakan komoditi penting di mana menjadi makanan utama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Forum Timbalan Menteri Pertanian Bersama Komuniti Petani dan Nelayan Sekinchan di Kilang Padi PLS Marketing di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengedaran beras tidak sewajarnya dimonopoli oleh sebuah syarikat kerana mampu memberi implikasi buruk dalam pelbagai aspek khasnya membabitkan isu harga dan kemampuan memenuhi permintaan pada keadaan memerlukan.

Ketika menyentuh kepentingan sektor pertanian kepada negara, Tze Tzin berkata, sektor itu kurang diberi perhatian selepas negara melangkah sebagai sebuah negara perindustrian.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkasakan kembali sektor terbabit bagi mengurangkan kebergantungan sumber makanan daripada negara luar.


Pengarang :