SELANGOR

MPAJ cari 27 pemilik unit Highland Towers

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 20 OGOS: Terdapat 27 pemilik unit Highland Towers masih dicari Jabatan Insolvensi Malaysia bagi urusan penyelesaian hak milik tapak bangunan tinggal, di kawasan itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abd Hamid Hussain berkata, sehingga kini seramai 111 pemilik sudah dikenal pasti bagi ketiga blok Highland Towers terbabit.

“Proses ini perlu diselesaikan segera bagi membolehkan pembangunan semula di Highland Towers dijalankan secepat mungkin.

“MPAJ turut bekerjasama dengan Jabatan Insolvensi Malaysia dan berkemungkinan dalam minggu ini satu iklan akan dikeluarkan untuk mencari pemilik yang terbabit,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPAJ di Menara MPAJ, hari ini.

Abd Hamid berkata, pihaknya juga sudah sedia maklum bahawa cadangan awal bagi membina perumahan di situ sudah berubah kepada pembinaan taman rekreasi awam.

Katanya, ia ekoran struktur tanah di Highland Towers tidak sesuai untuk pembinaan berdensiti tinggi seperti bangunan rumah pangsa.

“Pada cadangan awal, pemaju akan membina 50 lot tapak banglo di sekitar Highland Towers, sementara tapak asal bangunan tinggal itu dicadangkan menjadi taman rekreasi yang boleh diakses orang awam.

“MPAJ juga sudah dua kali menyertai mesyuarat bersama Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membincangkan isu pembangunan semula Highland Towers,” katanya.

Semalam SelangorKini melaporkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan tapak Highland Towers akan dibangunkan menjadi taman rekreasi, namun ia masih dalam peringkat perbincangan.

Difahamkan, kawasan itu dibiar terbengkalai sejak 1993, dalam tragedi satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh yang meragut 48 nyawa.


Pengarang :