PBTSELANGOR

MPK optimis masyarakat kibar Jalur Gemilang

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 15 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) optimis masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sempena menghormati bulan Kebangsaan yang bakal tiba, pada 31 Ogos ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, MPK turut komited menganjurkan Program Kibar Jalur Gemilang bertujuan menyemarakkan perasaan patriotik dalam kalangan warga kerja dan masyarakat, terutama di daerah terbabit.

“Semangat penghayatan kemerdekaan ini amat penting dan perlu terus dihidupkan dalam diri supaya ia terus terpelihara dan terjaga.

“Kempen ini bertujuan menggalakkan warga kerja MPK dan rakyat kawasan seliaan kami mengibarkan bendera Malaysia bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara, sekali gus menanam sikap patriotik dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Program Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-61 peringkat MPK, di Dewan Hamzah, di sini, hari ini.

Mohamad Yasid berkata, program itu dilaksanakan untuk menzahirkan penghargaan masyarakat terhadap pejuang kemerdekaan tanah air selain menghayati pengorbanan mereka selama ini.

Pada masa sama, turut diadakan gimik memasang bendera Jalur Gemilang yang dilaksanakan Mohamad Yasid dan pertandingan pakaian beragam bertemakan bulan kemerdekaan dalam kalangan kakitangan.


Pengarang :