SELANGOR

MPK tawar bayar kompaun serendah RM15

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan kempen pengurangan kompaun letak kereta sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia dengan pengurangan serendah RM15 bermula minggu ini sehingga 30 September depan.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, tawaran kempen itu bagi menggalakkan orang ramai mengambil peluang menjelaskan kompaun tertunggak mereka.

“Orang ramai digesa merebut peluang menjelaskan kompaun sebelum tempoh tawaran tamat dan tawaran terhad kepada 5,000 kompaun terawal sahaja.

“Kempen diadakan membantu pelanggan tidak berkesempatan menjelaskan kompaun mereka terdahulu agar dapat diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Untuk tujuan semakan, beliau berkata, orang ramai boleh ke kaunter tambahan di Lobi Ibu Pejabat MPK dan pejabat cawangan MPK, Jalan Tengku Kelana.

Manakala bayaran, katanya, boleh dibuat di semua kaunter di Ibu Pejabat MPK, pejabat cawan Jalan Tengku Kelana, Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Perhentian Bas Pelabuhan Klang dan Pekan Kapar.

“Bayaran juga boleh dibuat di mesin i-Kiosk (CDM), pasaraya Giant Bukit Tinggi, kaunter van bergerak MPK dan di pasaraya terpilih mengikut jadual ditetapkan selain pembayaran kompaun secara atas talian melalui JomPAY turut boleh dilakukan demi kemudahan orang awam.

“Perkhidmatan semakan dan pembayaran di pasaraya terpilih dibuka pada Sabtu dan Ahad mulai 10.30 pagi hingga 10 malam iaitu di AEON Bukit Tinggi pada 1, 2, 29 dan 30 September, Giant Bukit Tinggi (8 dan 9 September), Aeon Bukit Raya (15 dan 16 September) serta Tesco Bukit Tinggi (22 dan 23 September),” katanya.


Pengarang :