PBTSELANGOR

MPS sokong anak muda tawan tiga gunung di Himalaya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SELAYANG, 19 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyokong penuh hasrat seorang anak muda untuk menawan tiga buah gunung di Himalaya.

Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman berkata, pendakian itu akan dijayakan oleh ikon Anak Muda Gombak (AMG), Khairil Aslan Ab Rasid.

“Beliau akan menawan tiga gunung di Himalaya selama 27 hari bermula pada 24 Ogos 2018 ini, oleh itu, kami daripada MPS mengucapkan selamat maju jaya dan semoga misi beliau ini dipermudahkan dan memperoleh kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan bendera dan sumbangan Misi Ekspedisi Solo Merdeka AMG ke Gunung Himalaya, di Menara MPS.

Khairil Aslan berkata, menerusi ekspedisi solo Merdeka Himalaya Expedition 2018 itu, beliau akan mendaki Gunung CB 13, Gunung CB 14 dan Gunung Stok Kangri yang secara keseluruhannya membabitkan ketinggian 18,462 meter.

Katanya, beliau bersyukur kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Anak Muda Gombak tampil membantunya untuk mencukupkan dana.

“Anak Muda Gombak membantu saya mencukupkan dana dengan bantuan kerajaan negeri. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan ekspedisi ini,” katanya.


Pengarang :