Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
SELANGOR

MPSJ anjur Program Generasi Sihat dan Merdeka 4 September ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal menganjurkan Program Generasi Sihat dan Merdeka, pada 4 September ini, di Surf Deck, Sunway Lagoon,

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, penganjuran menerusi Program Generasi Bestari (Smart Gen) itu merupakan salah satu modul di bawah Anugerah Sekolah Sejahtera yang dirancang selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030.

“Program ini termasuk dalam teras kedua pelan strategik MPSJ iaitu Perancangan dan Pembangunan Mampan serta Mesra Alam, juga teras kelima meliputi Pembentukan Masyarakat Madani dalam mewujudkan masyarakat sihat dan sejahtera.

“Ia melibatkan penyertaan 43 sekolah merangkumi sekolah menengah dan rendah, berkonsepkan ‘Treasure Hunt’ di kawasan Sunway Theme Park,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.8/2018, di Bilik Mesyuarat Kenanga, Aras 2 Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Noraini berkata, program terbabit direalisasikan secara kolaborasi bersama badan korporat iaitu Sunway Lagoon Sdn Bhd, Jabatan Pendidikan Selangor (JPNS) dan Jabatan Pendidikan Petaling Perdana (JPPP), sebagai usaha mengeratkan kerjasama antara badan kerajaan serta korporat.

Terdahulu, Anugerah Sekolah Sejahtera dilancarkan MPSJ pada 10 Januari lalu, merangkumi tiga aspek utama iaitu kesihatan dan kebersihan, kelestarian alam sekitar, landskap dan keceriaan.

Melalui aspek itu, tujuh program dilaksanakan di bawahnya seperti pemeriksaan dan pemusnahan Aedes, program kompos sisa organik, cabaran minda hijau, landskap kreatif serta pemeriksaan juga penarafan bintang tandas sekolah.


Pengarang :