SELANGOR

MPSJ gesa orang ramai hapus denggi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 31 JUL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menggesa masyarakat setempat memberi kerjasama dalam usaha mengekang wabak denggi di kawasan pentadbiran itu.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, ia amat diperlukan bagi memastikan penularan kes demam denggi dapat dikurangkan.

“Setiap anggota rumah boleh melaksanakan kempen 10 minit secara kerap dengan memeriksa dan menghapuskan kawasan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Semua penduduk juga digalak melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan kediaman mereka tanpa perlu mengharapkan sepenuhnya daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Mesyuarat MPSJ Bil 07/2018, di Bilik Mesyuarat Kenangan Aras 2, di sini, semalam.

Terdahulu, sejumlah 2,284 kes demam denggi dicatatkan setakat minggu epid ke 30 (sehingga 22 Julai) di kawasan pentadbiran MPSJ.

Difahamkan, sebanyak 2,273 kes denggi adalah Demam Denggi Klasik (DDK), manakala 11 kes membabitkan Demam Denggi Berdarah (DDB).

Bagaimanapun Noraini berkata, pihaknya segera menjalankan modus operandi setelah menerima laporan kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah Petaling.

Katanya, ia berikutan peningkatan daripada tiga kepada 14 lokaliti ‘hotspot’ yang direkodkan pihak jabatan kesihatan, sejak Jun lalu.

“Baru-baru ini pihak kami bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Jabatan Pembangunan Masyarakat menjalankan gotong-royong perdana di USJ 2/4, yang turut disertai ADN Michelle.

“Selain melakukan kerja pembersihan dan pemeriksaan, kami juga mengadakan sesi taklimat pada waktu solat jumaat dan ini merupakan pendekatan baru menarik perhatian jemaah di masjid,” katanya.


Pengarang :