PBTSELANGOR

MPSJ muncul PBT pertama wujud peta utiliti

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama yang mewujudkan peta utiliti dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, pihaknya kini sedang membangunkan sistem ‘Geographical Information Sistem’ (GIS) bagi mewujudkan bank data melalui Sistem Maklumat Eksekutif (EIS).

Katanya, sistem itu dibangun berasaskan maklumat geografi guna tanah sedia ada di Jabatan Perancangan Bandar MPSJ yang sebelum ini tidak dapat digunakan sepenuhnya semua jabatan.

“Dengan kepakaran dan teknologi yang ada pada JUPEM seperti imej satelit dan ‘ortofoto’ beresolusi tinggi, ia berupaya mengesan tempat seperti kawasan pembinaan tanpa kebenaran dan kawasan pembuangan haram.

“Sebelum ini, kawasan terbabit tidak dapat dikesan semasa pemeriksaan lapangan dan maklumat ini boleh digunakan MPSJ untuk melaksanakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam ucapan.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani (MoU) bersama JUPEM di Ibu Pejabat MPSJ, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegarah Ukur dan Pemetaan JUPEM, Dato’ Mohd Noor Isa.

Noraini berkata, MoU itu adalah langkah bijak bagi menggerak dan menjayakan aspirasi MPSJ untuk menjadi salah sebuah bandar pintar berdaya tahan dan mampan.

Katanya, dengan kerjasama itu, ia dapat menguruskan kos secara optimum untuk kedua pihak melalui pertukaran maklumat, kepakaran dan teknologi.

“Saya berharap kerjasama ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh MPSJ untuk menjadi pemangkin bagi menambahbaik sistem GIS MPSJ dan membantu membangunkan modal insan.

“Ia juga membolehkan MPSJ melahirkan pekerja yang berkemahiran, berpengetahuan dan ‘multi-tasking’ bagi menghadapi cabaran baru,” katanya.


Pengarang :