Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
SELANGOR

MPSJ sertai FGD, bincang struktur tadbir komuniti

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyertai sesi “Focus Group Discussion” (FGD) bagi membincangkan Dasar Komuniti Negara membabitkan struktur pentadbiran komuniti dan peranan kerajaan secara holistik.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, perbincangan itu menjurus kepada memberdaya dan memastikan pembabitan serta kesejahteraan komuniti, khususnya di kawasan perumahan kos rendah.

Justeru, katanya, satu jawatankuasa dicadang ditubuhkan seperti Jawatankuasa Komuniti Berdaya terdiri daripada ketua blok atau tingkat, jawatankuasa masjid dan institusi keagamaan, badan pengurusan bersama serta semua pihak berkepentingan dalam kawasan perumahan itu.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menjadi fasilitator bagi memastikan jawatankuasa itu berfungsi berdasarkan keperluan, kepentingan dan isu yang dikenal pasti menggunakan pendekatan Local Agenda 21.

“Di peringkat PBT juga perlu mempunyai Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat yang boleh membantu membantu melaksanakan program kepada komuniti secara komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil. 8/2018, di Bilik Mesyuarat Kenanga, Ibu Pejabat MPSJ, di sini.

Pada masa sama, Noraini berkata, MPSJ melalui gabungan Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dan Jabatan Perancangan Bandar sedang mengenal pasti semua ahli jawatankuasa serta persatuan penduduk berkaitan Organisasi Berasaskan Komuniti, di kawasan perumahan kos rendah yang perlu didaftarkan.

Katanya, data itu akan dijadikan sebagai asas dalam menyelaras program komuniti antara syarikat swasta, badan bukan kerajaan dan jabatan kerajaan lain supaya tiada pertindihan program.

“Selain itu, program yang dicadangkan perlu fokus kepada aspek kebersihan, kesihatan, pengurusan infrastruktur, sosial, alam sekitar dan keusahawanan.

“Penyelerasan ini juga secara tidak langsung dapat mengoptimakan penggunaan bajet yang diperuntukkan kepada setiap zon,” katanya.


Pengarang :