NASIONAL

Mujahid ada bukti penyelewengan dana IKSIM RM7.4 juta

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata mempunyai bukti kukuh terhadap penyelewengan RM7.4 juta peruntukan kepada Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) yang didakwa hilang tanpa rekod.

Menurutnya, pendedahan itu dibuat setelah mendapati isu berkenaan mempunyai keraguan dan perlu disiasat segera.

“Saya tidak akan beritahu sesuai selain saya sudah ada bukti.

“Pastinya bila kita londeh seluar dia, takkan dia nak kata betul saya yang buat,” katanya kepada media di Lobi Parlimen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, pendedahan itu diperoleh dari audit dalaman yang dijalankan terhadap institusi tersebut baru-baru ini.

Justeru, Kerajaan membekukan sementara akaun dan aktiviti dirancang IKSIM berkuat kuasa serta-merta.

Langkah itu bertujuan membolehkan IKSIM melalui proses pemulihan daripada unsur penyelewengan dana korporat.

“Biar pihak berkuasa yang lakukan siasatan, mereka ada jalan yang baik untuk buat selesaikan masalah ini.

“Tetapi saya bertanggungjawab atas apa yang saya katakan,” katanya.


Pengarang :