SELANGOR

Naik elaun kehadiran ADN masih dalam perbincangan – Speaker

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 OGOS: Isu kenaikan elaun kehadiran Ahli Dewan Negeri (ADN) pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) masih lagi dalam peringkat perbincangan.

Speaker DNS, Ng Sue Lim berkata, cadangan kenaikan elaun kehadiran dari RM75 sehari kepada RM300-RM500 tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Ini kerana kita tidak dapat sebarang keputusan lagi, bagaimanapun ia mungkin akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan bermula tahun hadapan.

“Ia dilakukan bagi menggalakkan kehadiran ADN ke sesi perbahasan selain mahu semua ADN bertanggungjawab, termasuk bagi ADN pembangkang,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini Sue Lim melalui sebuah portal berita memaklumkan akan mempertimbang berbagai kaedah bagi menggalakkan sesi perbahasan ketika Sidang DUN termasuk menaikkan elaun kehadiran untuk para ADN.

Katanya, amat penting untuk memiliki dewan yang aktif, terutamanya dengan pembangkang hanya mempunyai lima daripada 56 kerusi DUN.

“Pembangkang yang kuat diperlukan bagi menyemak kerajaan yang memerintah supaya memastikan kecekapan urus tadbir dan mencegah rasuah serta memelihara kualiti cabang legislatif itu.

“Adanya pembangkang yang lemah hanya akan menghalang kualiti perbahasan di dalam dewan, katanya,” katanya.


Pengarang :