NASIONAL

Nurul Izzah: JPP perlu timbang semula peraturan pemilihan tidak praktikal

BUKIT MERTAJAM 25 OGOS: Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menimbang semula peraturan yang diperkenalkan pada pemilihan parti kali ini agar lebih realistik demi kepentingan semua calon yang bertanding.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata adalah sukar jika peraturan baru yang diperkenalkan oleh JPP tidak praktikal kerana pemilihan PKR sangat mencabar berikutan ia melibatkan 800,000 anggota di seluruh negara.

“Ya, saya tahu ada beberapa calon yang bertanding dalam pemilihan PKR kali ini menyuarakan pandangan dan ada yang tidak setuju dengan beberapa peraturan baru oleh JPP yang dilihat tidak realistik dan pratikal.

“Saya sendiri juga melihat perkara itu (peraturan baru) tidak sesuai dan sepatutnya JPP mengambil kira beberapa perkara sebelum buat peraturan tersebut kerana pemilihan PKR adalah satu-satunya parti yang menjalankan undi terus semua anggota parti yang mendaftar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Kesyukuran dan Korban Perdana anjuran pertubuhan bukan kerajaan Yayasan MyPrihatin di Guar Perahu di sini semalam yang turut menyaksikan yayasan tersebut menyerahkan 2 ekor lembu untuk dikorbankan dan dimasak dalam kenduri untuk penduduk Permatang Pauh tersebut.

Nurul Izzah berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua AMK PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyifatkan peraturan baru menghalang calon mengadakan ceramah dan menganjurkan jamuan makan dengan kehadiran lebih 100 orang sebagai tidak praktikal.

KEADILAN turut memperkenalkan larangan calon menggunakan gambar berkumpulan dalam bahan kempen mereka.

Nurul Izzah yang akan mempertahankan jawatan naib presiden, berkata beliau belum memulakan kempennya kerana terlalu sibuk dengan tugas sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Namun pada masa sama beliau mengakui pemilihan kali ini agak mencabar.

“Mereka kata saya tidak perlu teruk untuk berkempen kerana bapa saya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah presiden PKR, sebenarnya itu salah dan saya kena kerja lebih kuat, bukan hanya berharap kepada nama beliau (bapa),” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :