NASIONAL

PAKATAN komited pertahan bahasa, keistimewaan Melayu

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mengiktiraf kedudukan serta hak keistimewaan orang Melayu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jaminan itu dibuat kerana peruntukan berkenaan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak juga kepentingan sah kaum lain diperuntukkan secara jelas.

Katanya, ia berada dalam Fasal (1) Perkara 153 tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa itu.

“Berdasarkan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa melindungi tiga bidang yang menjadi keistimewaan orang Melayu dan anak negeri di Sabah dan Sarawak, merangkumi perkhidmatan awam, ekonomi serta pendidikan.

“Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri, berhak menentukan perizaban apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah.

“Ini adalah bagi jawatan dalam sektor awam, pemberian biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan seumpamanya atau kemudahan khas serta pemberian permit atau lesen dikehendaki undang-undang Persekutuan,” katanya lapor BHOnline.

Beliau berkata demikian menjawab pertaraab Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berhubung jaminan kerajaan terhadap hak Melayu dan Bumiputera, pada sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir berkata, peruntukan berkaitan bahasa Melayu dinyatakan menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahasa kebangsaan bagi negara ini ialah bahasa Melayu.

Namun, katanya, sesiapa saja bebas menggunakan, mengajar dan belajar bahasa lain, selain bagi maksud rasmi.

“Berdasarkan peruntukan ini juga, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhak memelihara serta meneruskan penggunaan serta pengajian bahasa kaum lain,” katanya.

Berkenaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor perkhidmatan awam, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mematuhi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 iaitu Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam.

 


Pengarang :