NASIONAL

PDRM tubuh pasukan khas siasat kes LHDN

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes cukai terlebih bayar berjumlah lebih RM14 bilion yang tidak dikembalikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada pembayar.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya sudah memanggil pengadu yang membuat laporan berhubung kes berkenaan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan pihaknya sudah mengadakan perbincangan untuk menentukan hala tuju siasatan kes.

“Pihak kami sudah membuka kertas siasatan dan menubuhkan pasukan khas untuk siasatan kes ini. Kami baru saja selesai mengadakan perbincangan, pagi tadi.

“Bagaimanapun, kami sudah memanggil dan merakam percakapan daripada individu yang membuat laporan, semalam,” katanya kepada BHOnline.

Pada masa sama, katanya, JSJK akan memanggil individu yang terbabit dalam kes berkenaan, selewat-lewatnya Isnin depan.

Terdahulu, media melaporkan kes cukai terlebih bayar yang tidak dikembalikan LHDN kepada pembayar disiasat sebagai pecah amanah.

 


Pengarang :