NASIONAL

Peguam Negara: Kapal mewah Equanimity disita secara teratur

SHAH ALAM 7 OGOS: Peguam Negara Tommy Thomas berkata kapal layar mewah Equanimity disita mengikut undang-undang Malaysia.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara telah memohon bidang kuasa Admiralti Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap kapal layar tersebut dan pada Isnin mahkamah mengeluarkan Waran Penahanan terhadapnya.

“Oleh itu, “Equanimity” kini telah disita secara teratur di bawah undang-undang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan sejurus selepas kapal layar bernilai bilion ringgit itu berlabuh di Pusat Pelayaran Boustead, Pulau Indah pada jam 1 petang Selasa.

Thomas berkata, lanjutan daripada Triti-Triti Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara Indonesia, Amerika Syarikat dan Malaysia yang diaktifkan baru-baru ini, rundingan sensitif dan rumit telah diadakan di peringkat tertinggi pelbagai agensi di ketiga-tiga negara untuk mencapai kejayaan tersebut.

“Kapal layar tersebut telah disita oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari 2018 atas permohonan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

“Penyitaan tersebut dibuat atas inisiatif DOJ yang menuntut hak milik ke atas kapal layar tersebut bagi pihak Malaysia dan 1MDB kerana wang milik kita telah digunakan untuk membelinya,” kata beliau.

Thomas juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat, terutamanya Polis Republik Indonesia (Polri) dalam menghulurkan kerjasama dengan Malaysia untuk membolehkan Equanimity kembali ke negara ini.

Beliau berkata antara agensi tempatan terlibat dalam operasi tersebut adalah Polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

 


Pengarang :