BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Pelajar PPKI SMK Seri Keramat meriahkan Piala Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Seramai 36 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat terpilih menyaksikan dan memeriahkan kejohanan Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, 25 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tan Sri Abdul Karim Munisar berkata, pihaknya memilih kumpulan pelajar dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) itu kerana mereka seharusnya diberi peluang sama sepertimana masyarakat normal.

“Saya berpendapat ia amat penting dalam kita merealisasikan penyertaan mereka bagi mendapat sokongan seluruh masyarakat bagi menjayakan kejohanan Piala Sultan Selangor edisi ke-17 ini.

“Dalam perancangan ini, kita tidak seharusnya meminggirkan mereka daripada golongan istimewa ini malah memastikan mereka tidak ketinggalan,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan tiket di SMK Seri Keramat di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Abdul Karim menyerahkan tiket kepada 36 pelajar PPKI sekolah berkenaan serta pengetuanya, Kamarudin Kudong.

Abdul Karim yang juga Pengurus Pilihan Selangor berkata, program itu adalah jelajah promosi terakhir dan istimewa kerana membabitkan pelajar OKU serta berharap penyertaan lebih ramai golongan sebegitu pada masa depan.

Katanya, jelajah promosi ini dimulakannya bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diikuti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan seterusnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sekolah itu.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pihaknya berterima kasih kepada penganjur kerana memilih pelajar PPKI sekolah itu untuk turut serta menyaksikan kejohanan berkenaan.

“Bagi pihak sekolah, saya amat terharu kerana pelajar PPKI ini memerlukan pendedahan kepada aktiviti luar sebegini.

“Saya berterima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana memilih sekolah kami dalam menjayakan jelajah program ini,” katanya.

Kejohanan Piala Sultan Selangor hasil cetusan idea Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mempertemukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura pada setiap tahun.

Selain itu, ia turut membabitkan dua perlawanan lain iaitu antara pasukan sekolah Selangor-Singapura B16 dan Veteran Selangor-Singapura.

=EZY=


Pengarang :