EKONOMINASIONAL

Pematuhan disiplin fiskal terus diberi penekanan tangani hutang negara

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Pematuhan terhadap disiplin fiskal dan pengurusan hutang yang lebih baik akan terus diberi penekanan untuk menyelesaikan hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah lebih RM1 trilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu juga untuk memastikan kedudukan fiskal dan makroekonomi terus kukuh bagi menangani sebarang krisis.

“Kebertanggungjawaban terhadap fiskal akan dapat meyakinkan pelabur dan pasaran modal bahawa kerajaan masih ada ruang bagi dasar fiskal dan kewangan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) berhubung langkah yang dirancang untuk menangani masalah hutang dan liabiliti.

Bagi memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan terkawal dan terurus, Lim berkata beberapa langkah kawalan sedang dilaksanakan seperti mengkaji semula projek yang melibatkan kos yang tinggi.

Katanya projek infrastruktur mega seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Mass Rapid Transit (MRT) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut dikaji semula untuk meneliti struktur kos keperluan dan keutamaan projek serta memastikan keupayaan kerajaan dalam membiayai dan membayar balik pinjaman yang dibuat.

Beliau berkata kerajaan turut menyediakan peruntukan tahunan di bawah perbelanjaan mengurus untuk memastikan bayaran pokok dan faedah dapat dibuat mengikut tempoh yang ditetapkan, membiayai semula sebahagian daripada pinjaman pada kadar yang lebih rendah dan memastikan pertumbuhan ekonomi kukuh termasuk sektor kreativiti dan inovasi.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) mengenai peningkatan hutang langsung negara daripada RM686 bilion kepada RM702 bilion, Lim berkata peningkatan itu disebabkan pengeluaran sukuk sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) antara Mei dan Julai lepas.

Katanya ia melibatkan tambahan sebanyak RM22 bilion iaitu RM8 bilion merupakan penebusan atau hutang bergulung matang manakala RM14 bilion lagi untuk perbelanjaan pembiayaan.

Beliau turut menjelaskan penambahan hutang itu susulan daripada hutang luar jangka yang ditanggung oleh kerajaan terdahulu yang telah menjadi hutang langsung negara.

Katanya pengeluaran MGS itu juga bukan untuk pembiayaan kerajaan baharu, seperti menampung pendapatan yang berkurangan susulan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :